SOP PRN Johor longgar, ada harapan calon berkempen?

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu memaklumkan akan memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding SOP sewaktu PRN Melaka dan Sarawak.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kelonggaran itu mengambil kira tiada wujudnya kluster dalam dua PRN berkenaan namun perincian berhubung SOP itu akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum penamaan calon pada 26 Februari ini.

Kelonggaran SOP pada PRN Johor yang bakal diadakan pada 12 Mac ini pastinya memberi harapan buat parti politik yang bertanding agar mereka diberi peluang untuk mengadakan kempen secara fizikal.

Walaupun negara masih bergelut dengan gelombang Omicron ketika ini, PRN Johor tetap dibenarkan susulan KKM juga telah melaksanakan kajian dari segi kesan varian itu terhadap kesihatan awam dan liputan vaksinasi dalam negara.

Ujar Khairy Jamaluddin, melihat perkara ini, maka pihaknya masih lagi yakin bahawa PRN boleh dilaksanakan, namun sekali lagi terpulang kepada pematuhan SOP daripada orang ramai termasuk pemimpin politik lain.

Baru-baru ini, beberapa parti politik menzahirkan harapan mereka agar diberi ruang dan peluang untuk menjalankan kempen secara fizikal dan bersemuka dengan SOP yang lebih longgar dalam PRN Johor akan datang.

Ini kerana, mengambil kira SOP PRN yang diadakan di beberapa negeri sebelum ini, ramai calon yang meluahkan kekecewaan apabila usaha mereka untuk menyantuni pengundi di kawasan masing-masing tidak dapat berjalan sesuai objektif susulan SOP yang terlalu ketat.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, selain membenarkan parti politik berkempen melalui ceramah dengan pematuhan SOP yang lebih longgar, program seperti tinjauan mesra juga penting dalam usaha mereka menyantuni pengundi di sesuatu kawasan

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat bahawa setiap parti dan calon wajar diberi peluang untuk berkempen berdasarkan batas-batas tertentu.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, kelonggaran SOP tersebut akan mendapat reaksi yang pelbagai dari banyak pihak berikutan kes jangkitan harian penularan wabak Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan.

Justeru, KKM, SPR dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung perlu benar-benar teliti sebelum memutuskan SOP bagi memastikan perjalanan PRN Johor berada dalam keadaan terkawal dan tidak akan wujud kluster baharu yang boleh membawa kepada ledakan kes Covid-19 dalam negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!