30 ahli keluar parti tidak jejaskan UMNO Mersing

Muhammad Syukri memaklumkan tindakan 30 ahli UMNO keluar parti dan menyertai Bersatu pada Sabtu tidak menjejaskan parti itu dalam menghadapi PRN Johor.
Muhammad Syukri memaklumkan tindakan 30 ahli UMNO keluar parti dan menyertai Bersatu pada Sabtu tidak menjejaskan parti itu dalam menghadapi PRN Johor.
A
A
A

MERSING - Tindakan 30 ahli UMNO dari bahagian Mersing keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Sabtu tidak memberi kesan terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bendahari BN Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim berkata, isu tersebut tidak menjejaskan langsung 'mood' dan semangat jentera parti.

"Begitu juga rata-rata rakyat yang sudah matang melihat budaya lompat wujud dalam Bersatu Mersing. Ini kerana kedua-dua wakil rakyat yang mewakili Bersatu di Mersing adalah mereka yang memegang jawatan penting sebelum ini dalam UMNO Mersing.

"Sudah pasti rakyat boleh hidu dan amat faham jika Bersatu Mersing selama ini mendapat kekuatan dengan mencuri ahli dan pemimpin daripada UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, 30 ahli UMNO dari cawangan Kampung Triang dan cawangan Kampung Baru Air Tawar mengisytiharkan keluar parti dan menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Keputusan tersebut didakwa diambil selepas hilang kepercayaan susulan isu semasa dalam UMNO yang belum selesai sehingga kini.

Muhammad Syukri berkata, daerah ini merupakan kubu BN dan penduduknya amat amat yakin dengan sesiapa yang dicalonkan pucuk pimpinan bagi mewakili gabungan berkenaan dalam PRN Johor.

Dakwanya, kebanyakan rakyat sudah bulatkan tekad untuk memilih BN yang sejarah dan pemerintahannya adalah lebih stabil daripada sudut politik serta ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Mimpi ngeri 22 bulan (pemerintahan Pakatan Harapan) di Johor sudah memberi kesedaran kepada rakyat betapa perit, siksa dan tertekan kerana ekonomi rakyat semakin susah, pentadbiran yang kurang cekap dan pembangunan negeri yang amat pelahan," katanya.

Masyarakat di Mersing juga, katanya, tidak mahu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau atau DUN Tenggaroh berada di bawah pembangkang sekiranya kerajaan Johor dipimpin BN.

Beliau percaya apa yang berlaku dalam PRN Melaka dan Sarawak yang melibatkan 'kebangkitan' rakyat akan turut berlaku dalam PRN Johor.

"Hal ini pasti merugikan masyarakat Mersing sekiranya ADUN yang dipilih mewakili parti pembangkang kerana Mersing sememangnya dahagakan pembangunan yang lebih mampan.

"Kita perlukan pemimpin yang setia dan ada pendirian. Biarlah pisang berbuah sekali sahaja dan jangan sejarah lama berulang kembali kerana luka hati masyarakat Mersing yang memilih BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu masih berbekas," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!