7,965 ular ditangkap di Terengganu tahun lalu

(Gambar kecil kiri: Mohd Rosman) Dua anggota APM menangkap seekor ular sawa yang dilaporkan di daerah Besut. - Foto ihsan APM
(Gambar kecil kiri: Mohd Rosman) Dua anggota APM menangkap seekor ular sawa yang dilaporkan di daerah Besut. - Foto ihsan APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu merekodkan sebanyak 7,965 kes tangkapan pelbagai spesis ular di negeri ini sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, daripada jumlah itu daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mencatatkan tangkapan paling tinggi iaitu 2,889 kes diikuti Marang (1,210) dan Dungun (1,074).

Menurutnya, daerah Besut pula merekodkan sebanyak 1,010 kes, Kemaman (676), Hulu Terengganu (593), Setiu (365) manakala Unit Pulau Redang dan Unit Felda Tenang pula masing-masing 109 dan 40 tangkapan.

“Daripada keseluruhan kes yang direkodkan, ular sawa dan tedung mencatatkan reptilia paling banyak ditangkap.

“Dari segi saiz, ular paling besar yang ditangkap adalah seekor ular sawa seberat hampir 250 kilogram di kawasan tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka, Marang pada 8 Disember lalu,” katanya di sini pada Ahad.

Mohd Rosman berkata, semua aduan mengenai ular diterima melalui panggilan dari Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 dan orang awam menerusi talian terus ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) masing-masing.

Katanya, kebanyakan kes tangkapan ular ini dilaporkan berlaku di kediaman penduduk terutama melibatkan rumah berada di lokasi berhampiran paya, sungai atau semak.

Jelas beliau, kes tangkapan reptilia juga biasanya meningkat pada musim monsun timur laut bermula November berikutan ular akan keluar mencari lokasi baharu susulan habitat mereka diancam banjir.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, sebanyak 1,054 tangkapan ular sudah direkodkan APM Terengganu pada tahun ini terutama di kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya ada ular di rumah mereka tidak kira sama ada haiwan itu berbisa atau tidak.

“Apa yang perlu mereka lakukan adalah kenal pasti di mana ular itu berada dan terus hubungi APM melalui talian MERS 999 bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini kerana ular akan bertindak agresif jika terancam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!