PH mahu kerajaan BN Perak kekal hingga PRU, tolak PRN
IPOH - Pakatan Harapan (PH) Perak mahu pentadbiran kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN) terus kekal sehinggalah Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan kelak.
Pengerusi PH Negeri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, pentadbiran yang ada ketika ini telah memberi jaminan kestabilan politik yang baik kepada rakyat tanpa perlu diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sepertimana Melaka dan Johor.
Malah menurutnya, pelaksanaan dasar dan kepimpinan di bawah Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku menteri besar tidak menimbulkan sebarang krisis politik dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.
"Kami di pihak PH sangat konsisten dari PRN Melaka hinggalah Johor bahawa apa yang kami mahukan adalah kestabilan politik dengan memberi kerjasama yang baik.
"Ini bukan cakap kosong, kita telah buktikan dengan membuat persefahaman lebih awal dengan menteri besar (Perak).
"Bagi PH kestabilan politik itu lebih utama berbanding PRN sehinggalah keperluannya ditentukan secara undang-undang iaitu lima tahun lengkap pada 2023 nanti.
"Jadi sebelumnya (tempoh PRU), apa perlunya PRN yang dilihat lebih menimbulkan banyak masalah," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pimpinan Pakatan Harapan bersama Media di Hotel Impiana di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Koordinasi Komunikasi PH Perak, Dr Muhaimin Sulam; Ketua Pemuda PH Pusat, Howard Lee Chuan How ; Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Baldip Singh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad.
Sementara itu, Howard Lee berkata, dari segi strategi dan taktikalnya tidak nampak keperluan untuk diadakan PRN di Perak memandangkan wujud kestabilan politik yang tinggi.
Beliau berkata, meskipun wujud perbezaan ketara dari segi tadbir urus kerajaan, namun mereka perlu mengiktiraf persefahaman yang dimeterai sebelum ini.
"Perbezaan itu memang ada, cara buat kerja pun ketara berbeza, tetapi kita ada persefahaman dan suasana politik yang membawa keyakinan kepada rakyat bahawa mereka tidak akan dibebankan dengan satu PRN yang tidak seiring dengan PRU.
"Itu yang kami tahu bila turun padang ke lapangan dengar suara rakyat, mereka tahu tidak ada PRN itu baik pada masa sekarang dan bukan satu keperluan pun," jelasnya.
Pada majlis itu, seramai 30 pengamal media pelbagai agensi hadir untuk berkongsi pandangan berkaitan isu semasa dan politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!