40 peratus warga emas di Pelabuhan Klang belum daftar SMUE
PELABUHAN KLANG - Sebanyak 40 peratus warga emas di sini masih belum mendaftar menyertai Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang merupakan salah satu inisiatif Peduli Rakyat oleh kerajaan Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri bagaimanapun berkata, sehingga kini, 9,000 daripada mereka telah pun mendaftar skim tersebut.
Menurutnya, jumlah peratus yang belum mendaftar SMUE agak tinggi mungkin disebabkan mereka tidak mendapat maklumat berkenaan skim tersebut.
Oleh itu, pihaknya sering melakukan lawatan ke rumah golongan terbabit untuk memperkenalkan skim tersebut kepada warga emas menerusi program Ziarah Kasih Warga Emas yang dilakukan olehnya setiap bulan.
"Selain ziarah dan bertanya khabar kepada warga emas tersebut, saya turut memperkenalkan skim ini, yang mana mereka boleh mendaftar di mana-mana Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
"Warga emas berumur 60 tahun ke atas atau orang kurang upaya (OKU) berumur 21 tahun ke atas boleh mendaftar skim tersebut di mana ahlinya akan mendapat hadiah hari jadi dalam bentuk baucar sebanyak RM100 dan tabung khairat kematian sebanyak RM500," katanya kepada Sinar Harian selepas program tersebut di Kota Bayuemas, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kota Bayuemas, Mohd Najib Mohd Arifin berkata, seramai 25 warga emas dikesan tinggal di kawasan perumahan tersebut.
Menurutnya, program Ziarah Kasih Warga Emas yang julung kalinya dilakukan itu dimulakan dengan melawat empat buah rumah untuk tujuan ziarah dan memberikan bantuan keperluan asas, selain membantu golongan tersebut mendaftar skim tersebut.
"Selepas ini pihak kami juga akan adakan sesi libat urus bersama Azmizam dan agensi-agensi berkenaan seminggu sebelum bulan Ramadan, yang mana borang-borang pendaftaran bagi skim ini juga akan diagihkan kepada mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!