MAIK salur bantuan kepada orang asli
KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan bantuan berjumlah RM140,000 kepada kira-kira 700 ketua isi rumah orang asli membabitkan tiga pos di Gua Musang yang terjejas akibat ancaman harimau.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, tiga pos terbabit ialah Pos Bihai, Pos Tendrik dan Pos Hau.
"Setiap ketua isu rumah menerima bantuan bernilai RM200 iaitu RM100 wang tunai manakala RM100 lagi barangan keperluan makanan bertujuan meringankan beban mereka kerana tidak dapat keluar bekerja,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Tahun 2021 di Hotel Renaissance di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman.
Pada majlis sama, 10 warga media termasuk Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan, Hazelen Liana Kamarudin menerima cenderamata penghargaan daripada MAIK.
Tengku Mohamad Rizam memberitahu, MAIK sentiasa menyalurkan peruntukan bantuan kepada seramai 4,400 orang asli di negeri ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang orang asli suku kaum Temiar, Anek Along, 40-an, maut dibaham harimau di belakang rumahnya di Kampung Sau, Pos Bihai, 7 Januari lalu.
Lebih 2,000 masyarakat orang asli di 18 kampung di Pos Bihai, Gua Musang diselubungi ketakutan akibat tiga harimau belang berkeliaran di kampung itu sejak sebulan lalu sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!