Tambah ilmu, juruterapi ambil diploma kemahiran biarpun ada ijazah

Roslan (dua kanan) ditemani isterinya Nor'ashikin Abu Bakar (kanan) selepas majlis konvokesyen di Nilai pada Sabtu.
Roslan (dua kanan) ditemani isterinya Nor'ashikin Abu Bakar (kanan) selepas majlis konvokesyen di Nilai pada Sabtu.
A
A
A

NILAI- Biarpun telah memiliki diploma dan ijazah sarjana sebelum ini, namun seorang juruterapi memilih untuk menambah ilmu dalam bidang kemahiran yang diminatinya dengan mengikuti Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Urut Terapeutik dan Penjagaan.

Kesungguhan yang ditunjukkan Roslan Hamzah, 54, itu berbaloi apabila dia berjaya merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Kasih Anana Pro-Skill Institute sempena Majlis Konvokesyen Persekutuan Pusat-pusat Bertauliah, Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (FeMAC) Zon Tengah Keempat Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada Sabtu.

Jelas Roslan, mempunyai pengalaman dalam bidang urutan saraf selama lebih 32 tahun antara kelebihannya mencapai kecemerlangan tersebut berikutan mudah untuk mengulang kaji pelajaran.

"Saya mula mempelajari urutan ini sejak berumur 17 tahun, iaitu kemahiran yang saya warisi secara turun-temurun daripada keluarga sebelah ibu saya di Johol, Kuala Pilah.

"Bermula dengan mengurut ahli keluarga dan saudara-mara sebelum melanjutkan pendidikan di peringkat Diploma Kecederaan Sukan di Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Terbuka Malaysia (Open Universiti)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada majlis konvokesyen tersebut, seramai 280 graduan daripada lima pusat bertauliah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, dia kemudiannya membuka pusat terapi di kediamannya di Shah Alam, Selangor sejak tahun 1990 sehingga kini.

"Saya meneruskan pekerjaan sebagai juruterapi secara tetap pada tahun 2005 dan berpendapat tidak rugi sekiranya menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran terutamanya dalam bidang yang kita minat kerana kemahiran inilah bakal mengubah nasib keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, saya menyeru mana-mana graduan yang masih tercari-cari pekerjaan, mulakan dengan bidang kemahiran," katanya yang juga aktif dalam aktiviti kebajikan.

Dalam pada itu, Roslan turut memberi jaminan ilmu yang diperolehi menerusi DKM ini akan dimanfaatkannya sebaik mungkin terutamanya dalam memberi penerangan kepada pelanggannya.

"Saya tidak mahu mengurut orang dengan berpandukan pengalaman semata-mata kerana saya mempunyai pelbagai latar belakang pelanggan dan ada antara mereka ingin mengetahui lebih lanjut berhubung permasalahan yang dihadapinya.

"Saya akan bantu mereka sebaik mungkin namun mereka perlu menunjukkan laporan perubatan dan saya akan memberi penjelasan terhadap terma-terma saintifik berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!