Wanita maut, suami cedera dilanggar bas

Bas yang terlibat dalam kemalangan malam tadi.
Bas yang terlibat dalam kemalangan malam tadi.
A
A
A
TANAH MERAH - Seorang wanita yang dipercayai baru selesai membeli barangan sekolah anak-anak di sebuah pasar raya maut dalam kemalangan di Kampung Kubang Gali, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa, Patiah Hamzah, 54, sedang membonceng motosikal yang ditunggang suaminya, Ab Adzi Hussin, 64, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

Sampai di kawasan kejadian, sebuah bas dari arah Tanah Merah ke Terengganu tidak sempat mengelak motosikal dinaiki mangsa dan terlanggar bahagian belakang kenderaan itu yang mengubah haluan ke kiri secara tiba-tiba.

Akibat kejadian itu, suami isteri terbabit terjatuh dari motosikal dan mengalami kecederaan.

Patiah cedera parah di kepala manakala Abd Adzi hanya mengalami calar di bahagian tangan dan sakit dada.
Artikel Berkaitan:


Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, akibat pelanggaran itu, Patiah yang cedera disahkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah kira-kira jam 11 malam.

"Pemandu bas berkenaan ditahan untuk membantu siasatan dan kita turut menjalankan ujian urin ke atas pemandu bas namun keputusannya negatif.

"Kita siasat kes ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!