KUFC ikat penyerang Nigeria

Jacob Njoku. - Foto FB KUFC
Jacob Njoku. - Foto FB KUFC
A
A
A

KELANTAN United (KUFC) mengikat penyerang import dari Nigeria, Jacob Njoku untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula akhir bulan ini.

Ketua Jurulatih KUFC, Syamsul Saad berkata, penyerang prolifik berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak bersama kelab yang sinonim dengan jolokan 'The Green Deers' selama semusim.

"Kehadiran penyerang import itu akan memberi nilai tambah kepada kekuatan pasukan menghadapi cabaran sebenar dalam kempen Liga-M khususnya Liga Premier.

"Saya lihat dia (Jacob) ada kualiti dari segi menggelecek, dia sangat laju dengan faktor umur yang masih muda selain mempunyai kesungguhan untuk beraksi lebih baik dalam setiap perlawanan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Syamsul berkata, pemain itu adalah calon sesuai bagi mengisi kuota pemain import ketiga pasukan berdasarkan kemampuannya yang boleh beraksi selaku penyerang sokongan dan berupaya bermain di posisi sayap kiri dan kanan.

"Jacob mempunyai pengalaman beraksi bersama beberapa kelab seperti AL Shabab FC yang juga kelab terakhir diwakilinya dalam Liga Bahrain, musim lepas.

"Saya boleh lihat ketika dia menyertai sesi latihan, ada kesungguhan selain faktor fizikal dan umur. Saya rasa dia boleh kekal dalam liga kita kerana musim ini agak memenatkan kerana pasukan akan banyak beraksi di gelanggang lawan," katanya.

Beliau berkata, pasukannya lebih memerlukan pemain yang boleh bermain selaku penyerang sokongan atau sayap kiri dan kanan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap pemain ini dapat menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan kepadanya memandangkan saingan liga akan bermula tidak lama lagi dan saya yakin Jacob mampu menyumbang banyak gol kepada pasukan pada musim ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!