RM10 juta bantu tingkat pendapatan B40 luar bandar

Mahdzir (tiga dari kiri) melihat peralatan yang diterima oleh peserta program Warung Desa@KPLB di Kuala Nerang pada Ahad.
Mahdzir (tiga dari kiri) melihat peralatan yang diterima oleh peserta program Warung Desa@KPLB di Kuala Nerang pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun 2022 dalam usaha meningkatkan pendapatan warga luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara program yang dilaksanakan termasuk Bantuan Warung Desa@KPLB yang dilaksanakan di daerah Padang Terap.

“Program ini adalah pemberian bantuan peralatan dan latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa, seterusnya membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan.

“Program itu juga bertujuan membantu usahawan kecil memiliki kiosk sendiri untuk menjalankan perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Penyerahan Bantuan Warung Desa@KPLB dekat sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, PPP merupakan program pemberian bantuan peralatan serta latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa seterusnya membantu mereka keluar daripada zon kemiskinan.

Menurutnya, kadar bantuan peralatan maksimum RM10,000 diberikan kepada setiap peserta yang terpilih

"Tahun lalu, seramai 564 orang terpilih menerima bantuan PPP di seluruh negara. Pada tahun ini KPLB akan meneruskan fokus kepada kaedah mentor mentee bagi meningkatkan kelangsungan aktiviti ekonomi penerima bantuan.

"Bantuan PPP dilaksanakan menerusi agensi-agensi KPLB seluruh negara termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kedah dengan sasaran seramai 950 orang peserta," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan tersebut termasuk pemberian bantuan WarungDesa@KPLB itu dianggar dimanfaatkan 300 penerima dengan peruntukan RM2 juta.

"Bagi fasa pertama, seramai 15 usahawan menerima bantuan Warung Desa@KPLB KEDA dengan nilai bantuan berjumlah RM75 ribu.

"Program bantuan Warung Desa@KPLB di bawah KEDA ini antara program bantuan yang dilihat mampu memberi impak positif kepada PPP," katanya.

Tambahnya, program Warung Desa@KPLB sedang dilaksanakan di dua daerah iaitu di Padang Terap dan di Sungai Petani sebagai permulaan pada tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!