'Jangan jadi pengkhianat negara'
KUALA SELANGOR - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menganggap pengamal perubatan yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 sebagai pengkhianat negara.
Menurutnya, perbuatan itu juga disifatkan sebagai tidak bertamadun dan mementingkan diri sendiri demi mengaut keuntungan.
"Golongan pengamal perubatan terdiri daripada doktor dan jururawat yang berdaftar sudah melafazkan ikrar atau sumpah hipokrates supaya tidak mendatangkan kemudaratan kepada pesakit.
"Terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi bukan sahaja menjerumus ke arah kemudaratan kesihatan awam malah ia turut melanggar etika profesionalisme perubatan yang dipegang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Cabaran Siakap Parlimen Kuala Selangor 2022 di Saujana Utama di sini pada Ahad.
Katanya, dalam soal ini, beliau yakin pihak berkuasa berkaitan mampu menangani isu berkenaan.
"Pihak berkaitan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil tindakan tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.
"Masa sama, saya yakin semua pengamal perubatan mementingkan amalan murni dan kemaslahatan umum, dalam soal ini semua pihak harus membanterasnya dan memastikan dalang perbuatan tidak bertanggungjawab ini segera dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.
Pada Khamis, seramai 25 individu diberkas melibatkan sembilan penipuan dipercayai terlibat dalam penjualan sijil vaksin palsu yang dikesan di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek diberkas terdiri daripada tiga doktor dan jururawat, 11 orang awam, tujuh ejen dan seorang staf klinik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!