Kemenangan ke atas Kean Yew penting tingkat keyakinan: Zii Jia

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia tidak mahu lagi berputih mata di tangan Juara Dunia Loh Kean Yew apabila memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menentang Singapura, Rabu ini.

Susulan kejayaan Kean Yew memenangi dua perjumpaan terakhir mereka dalam empat pertembungan keseluruhan, Zii Jia mahu menggunakan perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City kali ini, sebagai medan kebangkitannya.

Selepas mengharungi musim tidak konsisten sepanjang 2021, juara bertahan All England berusia 23 tahun itu berharap kemenangan ke atas Kean Yew turut dapat meningkatkan keyakinannya untuk musim yang lebih baik selepas keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.

"Sudah tentu saya mahu membalas dendam, dia pun lawan untuk pertahankan kemenangan. Jadi saya rasa kita dua-dua pun tak mahu kalah kali ini.

"Pada perlawanan sebelum ini, saya cedera, tetapi sejujurnya, dia main bagus hari itu, kalau tak cedera pun, saya pun tak berapa yakin boleh menang.

"Sekarang nampak dia punya permainan lebih mantap dan semakin matang. Kemenangan ke atas beliau amat penting untuk tingkat keyakinan," kata pemain ranking ketujuh dunia itu kepada pemberita selepas latihan rasmi pertama pasukan di sini pada Ahad.

Mengikut rekod pertemuan, Zii Jia menewaskan Kean Yew pada Cabaran Antarabangsa Smiling Fish 2016 dan Terbuka Fuzhou China 2019, namun gagal mengatasi lawannya sejak zaman remaja pada Terbuka Perancis 2021 dan final Terbuka Hylo 2021 di Jerman, apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Mengulas lanjut, Zii Jia berkata, skuad negara tidak boleh memandang rendah cabaran Jepun dan India walaupun mereka tidak menghantar pasukan terkuat, sambil menuntut rakan sepasukan memberikan sepenuh fokus dalam mencapai kedudukan empat teratas bagi mengesahkan tempat ke Piala Thomas di Bangkok Mei depan.

Ditanya mengenai pemain termuda dalam pasukan, Jacky Kok Jing Hong yang bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan berpasukan, Zii Jia berharap pemain berusia 20 tahun itu mampu belajar sesuatu dan menimba pengalaman pada kejohanan ini.

"Saya memang dah kenal beliau sejak kecil, kami memang dari tempat dan kelab yang sama, iaitu ASRC di Alor Setar. Saya sangat gembira dengan prestasinya sejak kebelakangan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jacky yang muncul Juara Terbuka Sweden pada bulan lepas, tidak mahu memberikan tekanan buat dirinya dengan memikirkan mengenai status lawannya, sebaliknya bertekad untuk memberikan prestasi terbaik sekiranya diberi peluang untuk beraksi.

"Tanggungjawab dalam pasukan senior memang lebih berat berbanding junior. Namun, saya sedang mencari keyakinan serta belajar daripada senior supaya dapat mencabar lawan yang lebih berpengalaman...tak boleh tergesa-gesa, kena selangkah demi selangkah,” katanya.

Skuad negara kali ini turut dibarisi pemain perseorangan Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao dan Lim Chong King, manakala pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi beregu.

Selepas bertemu Singapura pada Rabu, Malaysia akan meneruskan kempen Kumpulan B menentang Kazakhstan pada Khamis dan Jepun pada hari seterusnya, dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!