Muhammad Yadzan dakwa kini Presiden PAFA yang sah

Muhammad Yadzan Mohamad
Muhammad Yadzan Mohamad
A
A
A

KEMELUT kepimpinan bola sepak Perak kian berlarutan apabila Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mendakwa dirinya merupakan presiden badan induk itu yang sah bagi penggal 2021 hingga 2025.

Beliau berkata, pelantikan itu telah dibuat dalam Kongres Tahunan PAFA Kali Ke-63 yang berlangsung hari ini selain turut mendapat sokongan daripada tujuh ahli gabungan badan induk berkenaan.

"Sepatutnya pelantikan ini dibuat pada tahun lepas namun disebabkan penularan Covid-19, kita terpaksa tangguhkan ke tahun ini dan ia bukan sahaja melibatkan jawatan presiden tetapi keseluruhan jawatankuasa kepimpinan PAFA.

"Pelantikan ahli jawatankuasa baharu ini juga telah disokong sebulat suara oleh tujuh ahli gabungan PAFA iaitu Majlis India Perak, Teluk Intan, Bagan Datuk, Pengkalan Hulu, Tanjung Malim, Kuala Kangsar dan Batu Gajah,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Pada 19 Disember lepas, Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Hilir Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin telah dipilih sebagai Presiden PAFA bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sejak 21 Januari 2020.

Pemilihan Mohd Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong itu turut dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dianjurkan 14 ahli gabungan PAFA.

Pada Januari lepas, Mohd Azhar berkata, Pesuruhjaya Sukan (PJS) perlu memberi maklum balas segera berhubung notis aduan rasmi dihantar ahli-ahli gabungan PAFA bagi menyelesaikan kemelut melanda badan induk itu.

Ia juga penting bagi meleraikan kekusutan yang wujud dan memberikan pengesahan mengenai pihak mana yang mempunyai hak untuk menerajui PAFA.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Yadzan berkata, kongres hari ini turut melantik Naib Presiden III PAFA, Datuk Seri G Irudianathan sebagai Timbalan Presiden PAFA manakala Naib Presiden II PAFA, Abdul Aziz Yeop pula mengisi kekosongan jawatan Naib Presiden I PAFA.

Dalam perkembangan lain, Irudianathan berkata, Perak FC akan berusaha menyelesaikan isu tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan tuntutan gaji beberapa bekas tonggak import serta pembayaran kepada ejen pemain selewat-lewatnya pada minggu hadapan.

Beliau berkata, sekiranya gagal, The Bos Gaurus berkemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat pemain baharu selain hanya akan bergantung kepada pemain sedia ada bagi mengharungi saingan Liga Premier yang dijadual bermula 5 Mac depan.

"Sebenarnya tunggakan ini berlaku disebabkan kegagalan (tunggakan) pihak pengurusan Perak FC yang terdahulu. Jadi, mahu atau tidak pengurusan terkini terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Perak FC didapati gagal menjelaskan tunggakan gaji membabitkan bekas pemain import mereka iaitu Jeon Hyo Seok, Leandro dos Santos, Raianderson da Costa Morais selain turut berhutang kepada ejen Leandro dan Rainderson.

Pada musim ini, Perak FC yang dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih Projek FAM-MSN Yusri Che Lah telah menandatangani tiga bekas pemain KL City FC iaitu Indra Putra Mahayuddin, Zamir Selamat dan Aris Asri selain bekas pemain Selangor, Wan Zack Haikal Wan Noor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!