Dua kanak-kanak maut selepas makan sisa makanan dari tong sampah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua beradik warga Myanmar maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi petang tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menerima laporan berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, kira-kira jam 6.15 petang.

"Siasatan awal mendapati pada 5.30 petang bapa mangsa yang berumur 36 tahun ternampak dua anaknya berada di kawasan tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum mengangkat kedua-dua mangsa ke rumah jiran berdekatan.

"Bapa mangsa mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan selang beberapa minit kemudian anaknya sudah tidak bernafas," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Shariman berkata, ketika kejadian bapa mangsa keluar bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung.

"Mereka tidak mempunyai rumah dan hanya menumpang di rumah jiran di kampung tersebut," katanya.

Katanya, mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!