‘Jangan takut buat ujian RBTag’
SHAH ALAM - Jangan gusar dan takut untuk menjalani Ujian Psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag). Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha yang mahu rakan sejawatan dan ahli-ahli politik melakukan ujian penting tersebut.
Katanya, tiada apa yang perlu dirisaukan sekiranya ahli-ahli politik melakukan ujian RBTag tersebut, malah kelebihan menjalani ujian psikometrik tersebut boleh meningkatkan tahap kesedaran terhadap pelbagai elemen rasuah yang boleh berlaku dan terdedah di dalam masyarakat pada masa ini.
Menurutnya, terdapat situasi yang mana seseorang itu tidak menyedari telah berlaku unsur-unsur rasuah dan berkemungkinan boleh terjerumus kepada perlakuan jijik tersebut.
“Apa yang saya ingin tegaskan bahawa ujian RBTag ini bukan satu penilaian bahawa individu yang mengambil ujian ini terlibat dengan isu rasuah. Ia hanyalah sekadar satu ujian.
“Malah sebaliknya ia mampu memberi panduan untuk kita menjadi seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti tinggi kerana keputusan ujian ini membolehkan mereka mengetahui kelebihan dan kelemahan diri.
“Untuk itu, saya berharap rakan-rakan yang lain untuk mengambil ujian RBTag ini. Ia bukan sahaja percuma, malah boleh dijadikan satu kelebihan untuk meningkatkan pengetahuan berhubung masalah rasuah,” katanya kepada kru Rasuah Busters baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ujian RBTag melibatkan petugas media dan beberapa ADUN yang menyatakan persetujuan awal melakukan ujian tersebut di Kompleks Karangkraf dekat sini Khamis lalu.
Hadir sama pada sesi ujian bermula dari jam 11 pagi hingga jam 4 petang itu ialah Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak dan Felo Penasihat MCCF, Datuk Rosmadi Ghazali.
Mengulas lanjut, Haniza turut menyokong usaha pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan melaksanakan ujian RBTag dan kesempatan menjawab ujian psikometrik tersebut boleh dijadikan panduan sekiranya berhadapan situasi yang boleh menjurus kepada budaya rasuah.
Menurutnya, bagi menjadi seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti tinggi, seseorang itu perlu mengetahui nilai diri yang ada pada dirinya.
Jelasnya, kekuatan yang ada perlu digunakan sebaiknya dalam membangunkan negara, manakala kelemahan yang diketahui ada pada diri perlu diperbaiki dari masa ke masa.
Untuk itu katanya, jangan sesekali takut mengetahui kelemahan diri kerana perkara tersebut perlu diperbetulkan dan ditukar kepada perkara yang lebih baik.
“Ujian psikometrik RBTag ini bagus untuk diduduki oleh semua pihak termasuk calon-calon yang ingin bertanding pada pilihan raya kecil atau umum.
“Bukan sahaja boleh dijadikan sebagai nilai tambah semasa bertanding, malah membuktikan kesungguhan diri menentang budaya rasuah dan bebas daripada amalan penyelewengan kuasa sekali gus menjadi pemimpin yang bersih,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!