Pengumuman bazar Ramadan dibenar operasi satu berita baik

A
A
A

PENGUMUMAN dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad bahawa tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk bazar Ramadan pada tahun ini ternyata melegakan semua pihak.

Mana tidaknya, jika bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi, peniaga khususnya akan kehilangan sumber pendapatan menerusi hasil jualan di bazar Ramadan.

Ini kerana, ada sesetengah peniaga hanya meniaga sewaktu bazar Ramadan bagi memperoleh pendapatan sampingan.

Mereka ini ada yang sanggup mengambil cuti bagi menumpukan perniagaan sewaktu di bulan Ramadan.

Selain daripada itu, jika bazar Ramadan tidak dibenarkan beroparasi, ‘tarikan’ itu juga akan hilang serinya.

Tarikan bazar Ramadan ini adalah pelbagai juadah berbuka puasa yang boleh didapati pada waktu itu.

Ada juga tertunggu-tunggu bulan Ramadan kerana sewaktu ini mereka boleh mendapati segala jenis juadah yang tidak pernah didapati atau unik.

Bagaimanapun, di sebalik kebenaran operasi bazar Ramadan ini, orang ramai perlulah berhati-hati dengan penularan Covid-19 di negara ini yang kini tinggi.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan daripada Perdana Menteri bahawa prosedur operasi standard (SOP) bazar akan diperhalusi juga amat disokong.

Aspek SOP ini seharusnya tidak diambil enteng kerana orang ramai kebiasaannya akan berpusu-pusu untuk pergi ke bazar Ramadan.

Diharapkan juga, SOP yang akan diumumkan ini nanti mengambil kira semua perkara dan dicadangkan agar setiap bazar Ramadan ditempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta pihak berkuasa bagi memantau operasinya.

Dengan adanya anggota Rela dan pihak berkuasa, operasi bazar Ramadan akan berjalan lancar di samping orang ramai juga tidak sewenang-wenangnya melanggar SOP.

Jika mereka melanggar SOP semasa di bazar Ramadan, pihak berkuasa boleh mengenakan kompaun ke atas mereka.

Pada 2020, operasi bazar Ramadan di seluruh negara adalah tidak dibenarkan bagi mengekang penularan Covid-19, manakala pada tahun lalu pula, operasi bazar Ramadan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!