Tangguh SPM akibat kemalangan

Muhammad Syaaban dijangka menjalani pembedahan 17 Februari ini. - Foto Normah Ahmad
Muhammad Syaaban dijangka menjalani pembedahan 17 Februari ini. - Foto Normah Ahmad
A
A
A

SEREMBAN - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini terpaksa menangguhkan pelajarannya selepas terlibat kemalangan bulan lalu yang menyebabkannya terlantar serta memerlukan pemantauan.

Remaja berkenaan, Muhammad Syaaban Bux Rahman Bux,18 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sejak 9 Januari lepas akibat kemalangan berkenaan.

Menurut ibunya, Normah Ahmad, 54, kemalangan pada 9 Januari lepas lebih kurang jam 10.30 malam di Taman sebelah jalan Angsi 3, Taman Kelab Tunku ketika anak keempat daripada lima beradik itu dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk mengulangkaji pelajaran.

" Kejadian berlaku sewaktu anak saya menaiki motosikal hendak belajar di rumah kawannya sebelum tergelincir lalu jatuh berhampiran selekoh kerana jalan berpasir. Dia kemudiannya dipercayai di gilis sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda, Toyota Hilux.

" Berikutan itu, anak saya mengalami pendarahan yang teruk akibat banyak tulang patah malah doktor mengesahkan kecederaannya membabitkan bahagian bahu, rusuk kanan dan tulang belakang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Normah (duduk, tengah) bersama lima anaknya, dan Muhammad Syaaban (berdiri tengah). - Foto Normah Ahmad
Normah (duduk, tengah) bersama lima anaknya, dan Muhammad Syaaban (berdiri tengah). - Foto Normah Ahmad

Ujarnya, sehingga kini anaknya itu hanya terlantar dan memerlukan pemantauan sekali gus mendorongnya mengambil cuti tanpa gaji untuk menguruskan anaknya itu.

" Saya ambil cuti tanpa gaji sejak kejadian kerana ingin memberi tumpuan kepada kesihatan dan rawatan anak malah doktor sarankan agar pembedahan dilakukan secepat mungkin dengan anggaran kos sebanyak RM13,000.

Artikel Berkaitan:

" Saya sudah bincang dengan doktor akan gunakan surat jaminan syarikat, tetapi kos peralatan besi tidak termasuk dalam surat berkenaan, jadi saya terpaksa membuat rayuan bantuan dan pinjaman untuk cepatkan proses pembedahan bagi mengelakkan risiko lumpuh seluruh badan," katanya.

Normah yang juga ibu tunggal berkata, dia bagaimana pun bersyukur apabila kos pembedahan berkenaan sudah mencukupi apabila ramai pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk pihak sekolah, perseorangan, jiran-jiran serta tempatnya bekerja di sebuah kilang di Senawang.

" Anak saya dijangka menjalani pembedahan itu pada 17 Februari ini dan selepas pembedahan itu doktor sarankan dia minum susu khas," katanya.

Dalam pada itu, Normah berkata, hasil perbincangan dengan pihak sekolah, anaknya di jangka mengambil peperiksaan SPM tahun ini.

" Jika dia tidak dapat menjalani peperiksaan amali maka sijil dia tetap gagal walaupun menduduki peperiksaan bertulis. Kemungkinan besar anak saya terpaksa menangguhkan peperiksaannya ke tahun depan bagi membolehkannya menjalani rawatan dan proses pemulihan," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada Muhammad Syaaban Bux boleh menghubungi Normah di talian 012-268 5467 bagi meringankan bebanannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!