Kenapa siswa Melayu kurang dipilih?
DALAM suatu tinjauan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan mahasiswa Melayu kurang diminati oleh syarikat-syarikat swasta. Jika pandangan ini benar, mengapa ia jadi begitu?
Mahasiswa Melayu perlu mempunyai nilai apresiasi budaya lain jika mereka hendak menjadi seorang pemimpin yang cemerlang dalam masyarakat dan industri. Bermaksud, untuk seseorang itu meyakinkan dirinya berjaya dan cemerlang, dia harus mempelajari daripada semua manusia dan menerapkan segala nilai serta pengalaman yang terbaik. Individu begini amat yakin dia tidak boleh berlegar dalam budaya kaum atau bangsanya sahaja, tetapi berusaha memahami pelbagai budaya serta mempelajari rahsia kejayaan orang lain.
Sudah tentulah individu ini memahami bahawa terdapat banyak bangsa dan kaum lain yang telah menyumbang kepada ketamadunan manusia dan ia bukan datang daripada satu budaya sahaja. Adakah perkembangan komputer datang daripada bangsa Melayu? Adakah keupayaan sains roket yang menghantar orang ke bulan datangnya daripada budaya bangsa Amerika? Sudah tentu jawapannya ‘tidak’.
Walter William Skeat mengambil masa yang lama untuk merakamkan hampir segala kepercayaan tahyul dan magis orang-orang Melayu. Bukunya lengkap dengan jampi mantera yang ditulis dalam bahasa Melayu lama. Tanpa buku ini amat sukar bagi orang Melayu moden memahami pemikiran magis yang mengawal kehidupan masyarakat tua dan berpendidikan rendah di negara ini.
Marco Polo telah membuka tirai khayalan orang-orang Eropah Kristian kepada dunia unik orang-orang Cina dengan kepelbagaian corak kehidupan dan pemikiran dalam kaum-kaum yang wujud di sana. Dengan penulisan ini, mubaligh-mubaligh Kristian dapat mengembangkan agama mereka dan saudagar-saudagar Venice menjadi kaya-raya melalui hubungan perdagangan dengan negara China yang besar.
Apabila mahasiswa Melayu tamat pembelajarannya di universiti mereka akan berdepan dengan budaya-budaya lain di dalam pejabat dan di tempat kerja. Mereka perlu bekerjasama demi kepentingan syarikat yang membayar gaji mereka. Mahasiswa juga akan berjumpa para klien dan pegawai-pegawai kerajaan dalam pekerjaannya. Apakah sikap yang perlu diambil?
Dalam al-Quran, ALLAH telah berfirman bahawa manusia telah diciptakanNya dengan pelbagai budaya agar kita semua saling kenal mengenal dan bantu membantu antara satu sama lain dalam semua hal.
Orang Inggeris mempunyai pepatah lama yang berbunyi no man is an island. Kita semua tidak boleh hidup bersendirian tanpa sebab yang munasabah dan begitu juga sebuah bangsa atau kaum tidak sempurna jika hidup terasing daripada budaya lain.
Jika bangsa Melayu tidak berinteraksi dengan budaya lain maka bahasa Melayu sendiri tidak boleh wujud. Mengikut Dr Kassim Ahmad yang menerbitkan buku Hang Tuah, bahasa klasik Melayu datangnya dari pelbagai bahasa lain termasuk, Urdu, Arab, Cina, Sanskrit, Jawa dan beberapa bahasa lain. Bayangkan kalau orang Arab tidak mahu berinteraksi dan berapresiasi dengan bangsa lain, maka Islam tidak berkembang ke Tanah Melayu.
Terdapat juga dalam kalangan orang Melayu yang menganggap budaya Melayu dan Islam adalah yang terbaik sekali. Persoalannya adakah mereka yang berkata demikian tahu sepenuhnya yang ada pada budaya Melayu dan Islam? Jika kita tidak tahu keseluruhan sejarah, pemikiran dan kelakuan orang Melayu dan Islam, bagaimana kita mendabik dada berkata demikian?
Serupa juga dengan persoalan, tahukah kita tentang kesemua sejarah, kelakuan dan pemikiran kesemua budaya dalam dunia ini bagi kita membuat perbandingan akademik? Tiada siapa yang pernah hidup atau yang masih hidup boleh berkata demikian. Jadi, apa alasan kita meletak tempurung di atas kepala sendiri dan memenjarakan diri serta intelek dengan keegoan yang mutlak?
Jika seorang penjawat tinggi dalam sebuah firma swasta mendapat mahasiswa Melayu yang dikira berfikiran luas dan berlapang dada terhadap budaya lain maka mereka sudah tentu akan mengambilnya daripada seorang yang berkelulusan 4.0 tetapi tertutup penglihatannya pada budaya lain.
Pertama, firma ini boleh meyakini mahasiswa Melayu yang diambilnya dapat bekerjasama dengan kesemua pekerja yang berbagai bangsa, agama dan kaum. Kunci kejayaan sesuatu entiti manusia adalah kerjasama dan kunci kerjasama adalah menghormati semua orang dan mendengar pandangan daripada semua tanpa prejudis.
Kedua, firma tersebut dapat meyakinkan diri yang mahasiswa Melayu yang dihantar untuk menjadi ketua cawangan di Britain, Denmark, US, Arab Saudi, China, India, Jepun dan banyak negara lain kerana bukan sahaja dia boleh bekerja dengan staf setempat, dia juga mudah berinteraksi dengan klien dan pakar runding serta pegawai pemerintah di tempat masing-masing.
Bayangkan jika mahasiswa Melayu duduk di bawah tempurung keegoan dan mencemuh semua budaya lain, dapatkah dia menjadi eksekutif yang terbaik?
* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!