Banjir kilat: 15 kenderaan terperangkap di Sungai Siput
SUNGAI SIPUT - Sekurang-kurangnya 15 kenderaan terperangkap dalam kejadian banjir kilat akibat hujan lebat di Kanthan di sini tengah malam Ahad.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput pada jam 12.08 malam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, paras air naik mendadak di kawasan sekitar sebuah kuil di Khantan hingga mencecah 0.6 meter.
Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan kenderaan yang mahu melalui kawasan berkenaan terpaksa memberhentikan kenderaan untuk keselamatan.
"Banjir kilat tersebut menyebabkan 15 kenderaan terperangkap, namun tiada mangsa terlibat.
"Operasi pemantauan telah dilakukan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap," katanya.
Air surut sepenuhnya sekitar 30 minit kemudian dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.44 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!