‘Kami sudah tawar hati’ - Markiman
PERSATUAN Sepak Takraw Selangor (PSS) sekali lagi rampil menyatakan pendirian tegas bahawa mereka tidak sesekali akan kembali bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) meskipun badan induk itu sudah mempunyai tampuk kepimpinan baharu.
Presidennya, Datuk Markiman Kobiran berkata, pihaknya sudah tawar hati selepas tidak dibenarkan terlibat dalam pemilihan jawatan tertinggi PSM pada mesyuarat agung tahunan (AGM) yang berlangsung pada Sabtu.
“Kenapa sekarang baru mahu ajak kami menyertai PSM kembali. Kenapa tidak sebelum AGM dilakukan. Ia seolah-olah mereka (PSM) tidak berlaku adil kepada kami. Jadi kenapa kami mahu masuk ke persatuan yang barisan kepimpinannya tidak dipilih oleh kami. Apa relevannya kami masuk semula bersama PSM.
“Kalau kami masuk sekarang pun saya rasa tidak ada guna. Takkan kami masuk sekadar mahu menjadi kuli kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Ahad.
Terdahulu Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, pihaknya merayu agar tiga ahli gabungan yang keluar sebelum ini untuk kembali semula ke pangkuan PSM.
Menurut Sumali, kehadiran ketiga-tiga persatuan itu dilihat akan membantu memulihkan kemelut yang melanda PSM sebelum ini sekaligus berpeluang cerah untuk diterima semula oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
Untuk rekod, selain PSS, turut tidak diundang pada AGM yang berlangsung di ibu kota pada Sabtu ialah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSNS).
Ia selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSM sebelum ini membuat ketetapan ketiga-tiga persatuan itu bukan lagi ahli gabungan badan induk tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!