Jerebu: Kementerian pantau cuaca kawasan pelancongan
PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang mengikuti rapat keadaan cuaca semasa di kawasan tarikan pelancongan seperti di Banting, Selangor dan Rompin, Pahang yang masing-masing mencatatkan kualiti udara tidak sihat, kata Menteri Datuk Mohamaddin Ketapi.
"Saya menyarankan agar orang ramai dan pelancong mendapatkan maklumat terkini berkenaan jerebu di laman web indeks udara di http://apims.doe.gov.my. ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga 3 petang ini, Banting mencatatkan bacaan 104 manakala Rompin 176.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Mohamaddin menggesa operator pelancongan agar memberi peringatan kepada pelancong berhubung situasi semasa dan menyalurkan bantuan topeng mulut jika perlu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!