KUALA LUMPUR - Pendingin hawa masih terpasang, tempat tidur berselerak, dan bungkusan kondom ditemui di kelima-lima premis yang diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini membuktikan aktiviti pelacuran yang masih aktif. Serbuan dilakukan di sekitar kawasan Kepong itu bagaimanapun tidak menemukan pekerja dan pelanggan dipercayai sempat melarikan diri. Ketua Operasi, Osman Ismail berkata, kelima-lima premis berkenaan sebelum ini pernah diserbu namun kembali beroperasi termasuk dengan menggunakan pintu belakang bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Menurutnya, selain itu terdapat juga premis yang berselindung di sebalik pusat urut refleksologi sebaliknya menawarkan khidmat pekerja seks dengan pakej serendah RM180. “Kesemua premis ini beroperasi secara haram. Pemeriksaan lanjut di salah satu premis menemui buku log pekerja seks yang dipercayai tinggal di situ. “Berdasarkan catatan, khidmat seks yang ditawarkan melibatkan pekerja berumur 18 tahun dipercayai warga asing. “Kesemua mereka ini mampu menjana pendapatan sehingga lebih RM3,000 sebulan hasil khidmat diberikan,” katanya ditemui selepas operasi berkenaan di sini, hari ini. Susulan serbuan itu, Osman berkata, DBKL bertindak menyita kesemua premis terlibat bawah Seksyen 101 (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976. “Beberapa peralatan elektronik dalam premis turut disita,” katanya. Operasi dijalankan turut mendapat kerjasama PDRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).