Polis saman pemandu potong barisan secara berbahaya
KUALA SELANGOR - Polis menyaman seorang pemandu wanita yang tindakannya memotong barisan secara berbahaya di Kilometer 46 Jalan Klang-Teluk Intan tular di Facebook pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, polis berjaya mengesan wanita dan kenderaan terlibat.
Menurutnya, wanita terbabit kemudian tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
"Pemandu kereta ini telah hadir ke IPD Kuala Selangor pada jam 9 pagi semalam (Ahad) untuk tindakan lanjut.
"Tindakan saman sudah diambil mengikut Kaedah 6(1)A LN166/59," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Justeru katanya, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya lebih bersabar dalam pemanduan.
"Kita berharap pemandu lebih bersikap timbang rasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 0.36 saat sebuah kereta didapati memandu secara berbahaya dan memotong barisan di lampu isyarat di sini pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!