Fama Pahang galak belia sertai Program Agropreneur Muda

Saiful (dua kanan) ketika mengiringi Pengerusi Fama, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (tiga dari kanan) melawat projek kebun fertigasi Panching Selatan, Kuantan minggu lalu.
Saiful (dua kanan) ketika mengiringi Pengerusi Fama, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (tiga dari kanan) melawat projek kebun fertigasi Panching Selatan, Kuantan minggu lalu.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang menyediakan pelbagai kemudahan bagi menarik lebih ramai golongan belia di negeri ini terbabit dengan projek agropreneur muda dalam bidang pertanian, makanan dan produk sejuk beku.

Pengarahnya, Saiful Sadri berkata, golongan itu akan dibimbing bermula dari peringkat cadangan projek sehingga ke aspek pemasaran.

Menurutnya, setakat ini terdapat seramai 18 individu berdaftar dengan Fama di bawah Program Agropreneur Muda dalam tempoh dua tahun.

"Kebanyakan peserta ini terbabit dengan projek pengeluaran makanan seperti biskut, keropok lekor, daging perap, kerepek, kek dan sambal.

"Ada juga dalam kalangan mereka turut terlibat dalam sektor pertanian dengan mengusahakan tanaman melon, terung, timun, petola dan bendi secara fertigasi," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Saiful berkata, peserta yang berdaftar sebagai usahawan agropreneur muda berpeluang menerima bantuan geran antara RM18,000 hingga RM20,000 selain bantuan dalam bentuk barangan alatan yang disediakan kerajaan.

"Tahun lalu seramai 14 usahawan agropreneur muda didaftarkan di negeri ini berbanding hanya empat peserta pada 2020.

"Setiap tahun pihak Fama Pahang memproses permohonan golongan belia sebagai usahawan agropreneur muda, bagaimanapun penilaian di semua peringkat perlu dilakukan sebelum permohonan mereka diluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Harapan kami lebih ramai lagi golongan belia di negeri ini berani untuk menceburi diri dalam sektor pengeluaran makanan dan pertanian kerana bidang ini juga dapat memberi pulangan yang menguntungkan," katanya.

Beliau berkata, bagi belia yang berminat boleh menemui pegawai Fama daerah dan negeri untuk berbincang sebelum memulakan projek.

"Khidmat nasihat dan cadangan akan diberikan sebelum mereka layak menerima pelbagai kemudahan yang disediakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!