Miliki kad Tesco Club tidak sah, wanita dipenjara 2 tahun
KUALA LUMPUR - Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki dua kad tambah nilai Tesco Club (T ‘n Go) tidak sah bernilai RM2,048, bulan lepas.
Nurul Syahirah Adnan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki dua keping kad tambah nilai Tesco Club berkenaan yang tidak sah dan menggunakan kad berkenaan yang masing-masing RM1,145.50 dan RM907.15 sehingga mengakibatkan syarikat Touch 'n Go Sdn Bhd kerugian.
Kesalahan itu dilakukan di Pasaraya Tesco Ampang antara 19 Februari dan 1 Mac 2019.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara setahun manakala bagi pertuduhan kedua, dia dipenjara dua tahun dan mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 14 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Nurul Syahirah, kakitangan sebuah syarikat, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga dan dua orang adik yang masih bersekolah.
Kad tersebut juga katanya digunakan untuk membeli barangan keperluan rumah untuk keluarganya.
“Saya menyesal atas perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Saya sudah insaf,” katanya sambil menangis teresak-esak.
Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon hukuman yang dapat dijadikan sebagai pengajaran, dan mengambil kira kepentingan awam serta kerugian yang telah dialami oleh syarikat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!