[VIDEO] Polis tembak tayar kejar wanita pandu kereta curi
KOTA KINABALU - Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah pacuan empat roda selepas seorang wanita bertindak memandu secara agresif cuba melarikan diri daripada ditahan dalam kejadian di Jalan Sepanggar di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dilaporkan sebagai kenderaan curi dikesan berada di tepi Jalan Tun Fuad Stephen, Pasar Kraftangan yang dipandu seorang wanita tidak dikenali.
Orang awam yang menyedari kenderaan terbabit bertindak memaklumkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, sebaik menerima laporan itu, pasukan unit peronda kenderaan pelbagai guna (MPV) polis berjaya mengesan kedudukan kenderaan yang berada di Jalan Tanjung Lipat.
"Pasukan MPV kemudian mengarahkan suspek juga seorang wanita menghentikan kenderaan dengan menggunakan pembesar suara namun suspek tidak endah lalu terus memecut kenderaan dengan niat mahu melarikan diri.
"Dua kenderaan MPV dibantu anggota trafik turut bertindak menahan kenderaan suspek dengan meletakkan beberapa kon di jalan raya namun suspek terus merempuh dan menuju ke Jalan Sepanggar," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah George lagi, ketika suspek berada di kawasan lampu isyarat Tebobon, Jalan Sepanggar, kenderaan dipandu suspek tersekat dalam kesesakan lalu lintas.
"Anggota MPV turun dan menghampiri kereta suspek dari arah belakang. Suspek yang menyedari kehadiran anggota berkenaan secara tiba-tiba mengundurkan pacuan empat roda dengan laju ke belakang sehingga menyebabkan salah seorang anggota hampir terjatuh serta mengalami kecederaan pada lengan kiri.
"Bimbang dengan keselamatan diri dan berniat untuk menahan suspek, kedua-dua anggota bertindak melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan terbabit," katanya.
Ujarnya, tembakan dilepaskan itu menyebabkan kenderaan suspek tidak dapat bergerak dan anggota MPV berjaya memecahkan tingkap hadapan sebelah kiri kenderaan untuk menahan suspek.
"Suspek wanita tempatan berusia 35 tahun dan tidak bekerja. Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan juga turut menemui syabu dipercayai untuk kegunaan suspek," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit bersalah.
Sebelum itu, tular satu video durasi 15 saat memaparkan anggota polis bertindak cuba menghentikan pacuan empat roda yang dipandu suspek sebelum kenderaan itu beredar dalam kejadian di Jalan Tanjung Lipat, Likas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!