Kerajaan cadang tubuh jabatan baharu urus isu harta pusaka

Takiyuddin (tengah) bersama Muhamad Sanusi (kiri) dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim ketika Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Hana Sik pada Isnin.
Takiyuddin (tengah) bersama Muhamad Sanusi (kiri) dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim ketika Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Hana Sik pada Isnin.
A
A
A

SIK - Kerajaan bercadang mewujudkan satu jabatan baharu bagi menyelesaikan tunggakan pembahagian harta pusaka yang mencecah 72,348 kes seluruh negara sehingga Disember lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, proses pelaksanaan untuk mewujudkan jabatan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.

"Kita nak satu jabatan khusus yang mempunyai ketua pengarah sendiri, pengarah di peringkat negeri serta kakitangan, sekarang ini kita belum ada dan sedang proses dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Al-Hana, Sik pada Isnin.

Hadir membuat pelancaran, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut Takiyuddin, pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] yang diluluskan di Parlimen 22 Disember lalu meningkatkan bidang kuasa daripada RM2 juta kepada RM5 juta, selari dengan peningkatan hartanah semasa.

"Ia sekali gus dapat membantu rakyat tanpa perlu membawa kes pembahagian ke mahkamah yang pastinya memerlukan kos khidmat guaman yang tinggi.

"Disebabkan peningkatan bidang kuasa inilah perlu adanya jabatan baharu yang dilihat dapat membantu rakyat dalam urusan penyelesaian pusaka yang kita sedia maklum kebanyakannya melibatkan banyak isu dan permasalahan yang rumit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) merupakan satu-satunya jabatan kerajaan yang memberikan perkhidmatan pembahagian harta pusaka di Malaysia.

"Bahagian Pembahagian Pusaka kini menerima lebih 60,000 permohonan pembahagian pusaka setiap tahun berbanding agensi lain seperti Mahkamah Tinggi dan Amanah Raya Berhad.

"Masalah tunggakan kes yang banyak termasuk di Kedah kira-kira 14,000 kes antara yang tertinggi disebabkan salah satu faktor adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Kerana itu JKPTG menubuhkan pasukan khas untuk selesaikan tunggakan ini mengikut kaedah baharu secara dalam talian antaranya pendaftaran n pembayaran online memudahkan proses termasuk ke arah perbicaraan online.

"Menteri Besar Kedah sebagai ketua pentadbir negeri juga memberi jaminan akan membantu dari sudut tenaga kerja bersama pegawai-pegawai tadbir tanah sehingga pejabat penghulu pun akan jadi tempat perbicaraan pusaka untuk memudahkan rakyat," katanya.

Jelasnya, pelaksanaan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka itu dimulakan di Daerah Sik sebelum diteruskan ke daerah lain di Kedah dan dirancang untuk pelaksanaan bagi menyelesaikan tunggakan pembahagian harta pusaka di seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!