Eksport getah, produk getah berkembang kepada RM140 bilion tahun ini
PETALING JAYA - Eksport getah dan produk getah dijangka meningkat kepada RM140 bilion tahun ini berbanding RM71 bilion yang dicatatkan semasa 2021 dan RM49.2 bilion pada 2020, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Menurutnya, industri getah telah menyaksikan prestasi yang menggalakkan yang dipacu daripada industri tayar dengan eksport tayar melonjak 30.5 peratus kepada RM1.7 bilion pada tahun lepas berbanding dengan RM1.3 bilion pada 2020.
"Sumbangan eksport barangan bernilai tinggi Malaysia dan penambahbaikan dalam prestasi eksport produk getah kering serta rangsangan dalam penggunaan getah yang dihasilkan secara tempatan telah memacu pengukuhan prestasi eksport," katanya kepada pemberita selepas Ekspo dan Konvensyen Industri Getah Antarabangsa Malaysia (Irice 2022) di sini hari ini.
Sementara itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan mencadangkan penyelesaian strategik bagi membantu negara menepis dakwaan mengenai buruh dalam industri getah, katanya.
Kementerian itu akan bekerjasama dengan persatuan getah serta agensi berkaitan bagi mengemukakan penyelesaian dan ia akan menjadi usaha yang berterusan untuk menangani dakwaan-dakwaan ini termasuk isu-isu buruh yang sentiasa menjadi cabaran dalam sektor komoditi.
"Ini adalah perkara yang kita akan bekerjasama dan sekarang kita perlu menyatukan naratif semua pihak dengan cara yang lebih bersepadu kepada Kesatuan Eropah (EU) serta Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berbanding secara 'ad-hoc' sebelum ini.
"Kita perlu melakukannya dengan kaedah yang bersepadu, yang mana kementerian itu sendiri akan memainkan peranan dalam mewakili negara secara keseluruhannya. Ini adalah sesuatu yang kita perlu buat dan bercakap dalam satu suara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!