MEDAC, MAFI bekerjasama perluas tanaman jagung
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memperluaskan industri tanaman jagung untuk menampung keperluan makanan ternakan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, antara usaha yang mungkin boleh dilaksanakan adalah bekerjasama untuk menyediakan tapak tanaman dengan kedua-dua kementerian memainkan peranan masing-masing.
“Bagi kita apa juga perancangan bersama MAFI, kita kena kerjasama seperti program koperasi pertanian yang dilakukan di masjid-masjid. Mereka juga ada maklumkan yang jabatan pertanian ada memberi sumbangan dan beri bimbingan.
“Jadi koperasi pertanian di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ini sudah tentulah akan bekerjasama dan boleh jadi kita berkongsi modal bersama.
“Mungkin jabatan pertanian boleh berikan benih, dan kita (koperasi) boleh sediakan modal untuk membersihkan tanah (untuk aktiviti pertanian),” katanya ketika sidang akhbar semasa lawatan rasmi di Koperasi Kariah Masjid Taman Impian Emas di sini pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan pihaknya akan memperluaskan industri tanaman jagung dalam negara bagi menampung keperluan bahan makanan ternakan.
Ronald berkata, bagi tujuan itu pihaknya juga akan duduk berbincang dengan beberapa pemain industri pelbagai subsektor ternakan dan makanan untuk mencari solusi terbaik.
Dalam perkembangan lain, Noh berkata, pada tahun ini MEDAC juga menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus koperasi masjid boleh ditubuhkan.
Beliau berkata, perkara itu selepas melihat potensi yang ada pada koperasi masjid yang mana berupaya meningkatkan manfaat ekonomi ahli koperasi di masa akan datang.
“Sekarang ini, kita dimaklumkan di seluruh Malaysia terdapat 6,453 masjid dan daripada jumlah itu, hanya 454 ada koperasi masjid iaitu tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Jadi pada hari ini, MEDAC telah susun rancangan dan SKM juga telah memberikan KPI setiap negeri untuk turun padang serta berbincang dengan ahli jawatankuasa masjid bagi menubuhkan koperasi masjid. Kita jangkakan 300 lagi koperasi masjid boleh ditubuhkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!