Skuad B-23 'hilang' seorang pemain lagi

Shafi Azswad Sapari disahkan positif Covid-19 sebaik tiba di Phnom Penh, Kemboja pada Ahad.
Shafi Azswad Sapari disahkan positif Covid-19 sebaik tiba di Phnom Penh, Kemboja pada Ahad.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Shafi Azswad Sapari terpaksa 'direhatkan' apabila didapati positif Covid-19 sejurus tiba di Phnom Penh, Kemboja pada Ahad.

Sebelumnya, Shafi Azswad dipanggil bagi menggantikan tempat pemain Selangor FC 2, Fahmi Daniel Zaaim yang dikesan positif ketika menjalani ujian PCR.

Situasi terbaharu itu menyaksikan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara hanya akan dibarisi 27 pemain pada Kejuaraan AFF 2022 yang bermula Selasa.

Bagi pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney, beliau tetap optimis barisan pemain yang ada ketika ini cukup untuk menggalas tugas bagi mengharungi kejohanan tersebut.

"Dia (Shafi) meninggalkan Kuala Lumpur selepas ujian negatif tetapi di Kemboja, dia didapati positif, jadi dia terus dibawa ke pusat kuarantin.

"Fahmi pula berada dalam keadaan yang baik dan tiada simptom selain berada dalam semangat yang tinggi.

"Sudah tentu ia sesuatu yang mengecewakan apabila kami tidak dapat menggunakan khidmat mereka.

"Jumlah pemain dalam skuad juga berkurangan tetapi kami perlu menghadapi situasi ini," katanya pada sidang media secara maya pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Maloney tidak bercadang untuk memanggil pemain baharu menjelang aksi pembukaan Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Prince pada Selasa.

“Tidak (ada tambahan pemain baharu) kerana bagi saya sudah agak lewat. Malah, esok (Selasa) adalah hari perlawanan pertama kami.

“Segala urusan pendaftaran pemain telah selesai semalam (Ahad). Lagipun perkara itu (memanggil pemain baharu) agak sukar dilakukan termasuk atas faktor logistik.

“Jadi saya akan teruskan tugas di sini (Phnom Penh) dengan barisan pemain yang kami ada ketika ini,” jelas pengendali kelahiran Australia itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!