Penganggur mengaku tidak bersalah rompak wanita

Seorang penganggur tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang pada Isnin, atas pertuduhan melakukan rompakan ke atas seorang wanita, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
Seorang penganggur tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang pada Isnin, atas pertuduhan melakukan rompakan ke atas seorang wanita, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMASKINI] Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan rompakan ke atas seorang wanita, dua minggu lalu.

Mohd Safri Ahmad Effendi, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak beg tangan, telefon bimbit, kad SIM, kad pengeluaran wang automatik (ATM) bank, kad pengenalan dan wang tunai RM250 dengan nilai kerugian keseluruhan sebanyak RM800 milik Imarni Usman, 62, selain menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kampung Nakhoda Batu Caves, Gombak pada 1 tengah hari, 28 Januari lalu.

Ia merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni yang mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar ikat jamin dikurangkan kerana dia perlu menyara seorang anak berusia lapan tahun dan isteri yang tidak bekerja.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Osman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan dilarang ganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, satu video tular di media sosial, memaparkan seorang penunggang motosikal meragut penunggang lain sehingga menyebabkan mangsa terlibat dalam kemalangan di Kampung Nakhoda Batu Caves.