Ismail Sabri buka lembaran baharu hubungan Malaysia-Brunei
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal membuka lembaran baharu dalam mengukuhkan hubungan istimewa Keluarga Malaysia dan Brunei Darussalam yang terjalin sejak 1984.
Lawatan rasmi selama dua hari bermula 14 Februari ini bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin, selain mengeratkan rantaian Keluarga Malaysia di peringkat ASEAN.
Antara perkara yang dijangka dibincangkan termasuk berkaitan Vaccinated Travel Lane (VTL), pengiktirafan timbal balas sijil vaksinasi Covid-19, pelaburan, ekonomi, sosial dan isu serantau.
Tempoh lawatan yang singkat selama dua hari ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam meneruskan legasi yang telah dibina oleh kepimpinan terdahulu.
Semasa lawatan itu, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.
Kunjungan Perdana Menteri ke Brunei juga untuk mengundang Sultan Hassanal Bolkiah menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-24 yang akan diadakan di Malaysia hujung tahun ini.
Brunei merupakan negara anggota ASEAN ketiga yang dikunjungi Perdana Menteri selepas Indonesia dan Singapura.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara itu sejak menerajui tampuk kepimpinan negara pada bulan Ogos tahun lalu.
Kunjungan Ismail Sabri ini amat bermakna kerana Brunei merupakan negara sahabat yang begitu akrab dan dekat di hati Keluarga Malaysia.
Malaysia dan Brunei merupakan dua negara serumpun yang mempunyai banyak sejarah dan persamaan daripada segi ekonomi dan budaya.
Brunei merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-30 terbesar di dunia dan ke-6 terbesar di ASEAN. Malaysia pula rakan dagang ke-4 terbesar di Brunei.
Dari sudut ekonomi dan perdagangan, Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara daerah Brunei-Muara dan Temburong di Brunei yang berupaya meningkatkan aktiviti dagang antara Brunei dan Sabah serta Sarawak.
Malaysia dan Brunei telah menjalinkan kerjasama ekonomi melalui Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) sejak 1994.
Perdana Menteri telah menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-14 pada Oktober 2021 dan menyatakan komitmen kerajaan Malaysia dalam memperkukuhkan kerjasama serantau.
Pembangunan sektor tenaga antara kedua-dua negara diperkukuhkan menerusi Perjanjian Unitasi antara Petronas dan Sekretariat Unitasi Kebangsaan (NUS) Brunei meliputi medan minyak Gumusut-Kakap dan Geronggong-Jagus East yang terletak di sepanjang sempadan maritim kedua-dua negara.
Keutuhan hubungan baik Malaysia-Brunei juga terbukti dengan pembinaan Jambatan Persahabatan iaitu jambatan menyeberangi Sungai Pandaruan di Brunei bagi memenuhi objektif meningkatkan kesalinghubungan yang ingin dicapai dalam kalangan anggota negara ASEAN.
Kedudukan Jambatan Persahabatan dan Jambatan SHOAS turut meningkatkan sektor pelancongan di daerah Limbang, Sarawak yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa setiap tahun khususnya dari Brunei.
Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan Keluarga Malaysia yang menetap di Brunei sebelum mengakhiri lawatan itu.
* Mohamad Nor Ikhmal Hakim Irwansyah merupakan Pegawai Penyelidik, Pejabat Perdana Menteri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!