Covid-19: Penganjuran SAU dinilai semula

A
A
A

TAIPING - Polis menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berhubung penganjuran Perhimpunan Santai Anak Utara (SAU) yang akan berlangsung di Bukit Merah Laketown Resort, Sabtu ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, program dijangka melibatkan puluhan ribu peserta itu dipercayai akan dikaji semula selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 yang semakin meningkat.

"Saya difahamkan permohonan telah diluluskan MKN sebelum ini namun, statistik terkini menunjukkan kadar jangkitan Covid-19 meningkat bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh negara.

"Bagaimanapun saya juga difahamkan pengarah MKN akan buat kajian semula sama ada perlu diteruskan atau ditangguhkan program itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini pada Isnin.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan orang ramai terhadap risiko jangkitan Covid-19 akibat penganjuran SAU itu.

Mior Faridalathrash berkata, polis akan bersiap sedia memastikan program tersebut dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sekiranya dibenarkan.

"Saya yakin pihak penganjur juga akan menilai semula program tersebut dengan mempertimbangkan keadaan semasa.

"Tetapi kalau mereka gunakan kelulusan pertama untuk teruskan program itu, kita akan memantau dan pastikan program tersebut dilaksanakan SOP yang lebih ketat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!