JKNS nafi remaja maut akibat dos penggalak vaksin Covid-19

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KOTA KINABALU - Mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp kononnya seorang remaja telah meninggal dunia akibat dos penggalak vaksin Covid-19 di negeri ini adalah tidak benar.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah membuat siasatan segera berhubung perkara berkenaan dan mendapati mesej yang tular itu adalah palsu.

Menurutnya, ibu pesakit dan pihak Hospital Tuaran juga mengesahkan bahawa pesakit tidak pernah mengambil dos penggalak.

"Pesakit telah meninggal dunia pada 12 Februari. Punca sebenar kematian adalah disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenial heart disease) yang semakin tenat dan bukannya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti didakwa.

"Keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Rose Nani berkata siasatan JKNS juga mendapati pesakit telah menerima dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 masing-masing pada 31 Julai dan 21 Ogos tahun lepas.

Sehubungan itu, Dr Rose Nani berkata satu laporan polis telah dibuat oleh ibu pesakit pada Ahad (13 Feb) menafikan kematian anaknya disebabkan oleh dos penggalak vaksin Covid-19 sekali gus menafikan ahli keluarga turut terlibat dalam menyebarkan berita palsu tersebut.

"Hospital Tuaran juga telah membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi WhatsApp oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Rose Nani menggesa semua rakyat Sabah supaya tidak menyebarkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi lain kerana ia bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai bahkan mengancam privasi pesakit dan ahli keluarga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!