Pemandu lori bawa muatan kereta polis secara berbahaya disaman
TAPAH - Polis telah mengeluarkan saman ke atas pemandu lori yang membawa muatan lapan kereta peronda polis dalam keadaan berbahaya sepertimana ditularkan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, saman ke atas lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan di bawah Peraturan 18 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 18 LN 166/59) pada Jumaat lepas.
Menurutnya, pada 5 Februari lalu, polis mengesan satu video berdurasi 58 saat dimuat naik seorang pemilik Twitter bernama 'nan manjoi 8715' memaparkan sebuah lori membawa muatan kereta polis dalam keadaan bahaya di kawasan Rehat dan Rawat Tapah arah utara.
"Daripada penularan video tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah membuka satu kertas siasatan.
"Pemandu lori terbabit telah dipanggil dan dirakam percakapan seterusnya dikeluarkan saman atas kesalahan membawa muatan hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di sini pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati, kesemua lapan kereta peronda polis yang berada dalam lori itu adalah hasil jualan lelong aset alih kerajaan IPD Seremban.
Katanya, kenderaan-kenderaan itu dikumpulkan di kawasan Industri Seremban dan dibawa menggunakan lori tersebut ke Ipoh.
"Kertas siasatan terhadap kes tersebut telah selesai. Semakan rekod lampau menunjukkan pemandu lori berkenaan mempunyai enam saman membabitkan pelbagai kesalahan," katanya.
Menerusi video tular itu, orang ramai menyuarakan kebimbangan akan keselamatan pengguna jalan raya lain apabila beberapa kereta peronda polis yang diangkut menggunakan sebuah lori, disusun dalam keadaan berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!