Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, bahan PRN dicuri
MERSING - Sebuah beg mengandungi dokumen penting dan bahan untuk digunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicuri selepas Pejabat UMNO Bahagian Mersing di Jalan Ismail di sini dipecah masuk dipercayai pada malam Ahad.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah berkata, beg itu mengandungi data PRN Johor, enam unit telefon bimbit, simkad, baucar saguhati petugas dan satu fail berisi senarai nama petugas serta laporan sikap petugas.
"Dokumen ini akan digunakan untuk PRN yang akan berlangsung pada 12 Mac ini. Kejadian ini menimbulkan tanda tanya.
"Saya syak kejadian ini lebih kepada unsur sabotaj atau khianat kerana beberapa unit komputer riba yang berada berdekatan beg berkenaan yang hilang tersebut tidak dicuri," katanya ditemui pemberita di pejabat itu pada Isnin.
Rina Farhana tidak mengesyaki sesiapa namun laporan polis sudah dibuat pada Isnin dan berharap pihak berkuasa segera melakukan siasatan.
Kejadian tersebut disedari semasa beliau dan seorang kerani lelaki mahu memulakan tugas pada jam 8 pagi.
"Kami dapati pintu utama yang terletak di tangga masuk tidak berkunci sedangkan pada jam 6 petang semalam (Ahad) pintu utama dan pintu masuk pejabat telah dikunci oleh kerani kerana pejabat tutup.
"Saya juga dapati pintu pejabat telah dipecah. Keadaan dalam pejabat adalah masih berada dalam keadaan biasa sebelum pemeriksaan mendapati beg berkenaan telah hilang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!