Nelayan hilang ditemui meninggal dunia di bawah jambatan
SANDAKAN - Kehilangan seorang lelaki sejak dua hari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di bawah jambatan Kampung Cenderamata, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa Raman Salleh, 31, ditemui sekumpulan kanak-kanak yang sedang menangkap anak ikan di bawah jambatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung yang memaklumkan penemuan mayat lelaki di kawasan berkenaan.
"Kumpulan kanak-kanak terbabit menemui satu tubuh manusia sebelum memaklumkan kepada penduduk dan hasil pemeriksaan disahkan ia adalah mayat seorang lelaki dewasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mayat terbabit adalah seorang nelayan yang dikatakan tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.
"Pengecaman mayat telah dilakukan dan disahkan oleh isterinya dan mayat dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.
"Setakat ini kematian mangsa tidak melibatkan unsur jenayah serta diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!