Mohd Tarmizi makin stabil
ALOR SETAR - Keadaan mangsa serangan pengganas di Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dilaporkan semakin stabil berdasarkan gambar yang diterima keluarganya.
Kakak Mohd Tarmizi, Zarina Shuib, 53, berkata, adik bongsunya baru sahaja selesai menjalani pembedahan kecil kesan serangan pengganas yang kini telah mengakibatkan 50 orang terbunuh.
Menurutnya, keluarga mereka juga berharap keadaan Mohd Tarmizi akan bertambah baik walaupun pada waktu yang sama rungsing memikirkan Mohd Haziq, 17, yang hilang tanpa berita sejak Jumaat lalu disebabkan insiden berkenaan.
"Keadaan Mohd Tarmizi stabil, cuma berita berkenaan anaknya, Mohd Haziq sahaja belum ada perkembangan lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Zarina berkata, dia berharap agar semua pihak mendoakan keselamatan anak saudaranya itu.
"Hari ini tiga ahli keluarga kami berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Singapura jam 3 petang, seterusnya terus terbang ke New Zealand. Semoga semua urusan dipermudahkan,” katanya.
Hari ini, seorang lagi ibu saudara Mohd Haziq, Mariani Shuib, 49, melalui Sinar Harian berkata, hanya doa rakyat Malaysia menjadi kekuatan kepada keluarga mereka yang masih ternanti-nantikan khabar berhubung remaja tersebut.
Menurutnya, walau dalam keadaan apa sekalipun, keluarga mahu melihat sendiri jasad Mohd Haziq selain menolak tanggapan buruk yang kini tersebar di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!