Ukraine tuntut penjelasan, Rusia terus berdalih

Seorang remaja Ukraine menggali kubu untuk anggota tentera yang berada di kedudukan barisan hadapan berhampiran perkampungan Chervone di wilayah Mariupol. - Foto AFP
Seorang remaja Ukraine menggali kubu untuk anggota tentera yang berada di kedudukan barisan hadapan berhampiran perkampungan Chervone di wilayah Mariupol. - Foto AFP
A
A
A

KIEV - Ukraine telah meminta satu mesyuarat tergempar diadakan bersama Rusia dan negara Eropah lain untuk menjelaskan tentang penempatan pasukan tentera berskala besar dengan peralatan ketenteraan di sepanjang sempadan negara bekas Kesatuan Soviet tersebut.

Menteri Luar, Dmytro Kuleba pada lewat Ahad berkata, Moscow telah menolak permintaan rasmi Kiev yang menuntut penjelasan secara terperinci tentang perkembangan tersebut yang telah mencetuskan panik bukan hanya di negara itu malah di negara Barat.

"Pertemuan itu dirancang untuk tempoh 48 jam akan datang," ujarnya di Facebook.

Pada Isnin, jurucakap Presiden Rusia, Vladimir Putin bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang permintaan Kiev dan hanya mengulangi kenyataan kononnya Moscow bebas untuk mengerahkan pasukan tentera mereka di mana-mana kedudukan di seluruh negara.

"Saya sekali lagi mahu tekankan bahawa kita sedang bercakap tentang pergerakan tentera Rusia di wilayah negara ini. Pasukan tentera Ukraine juga menempatkan sebahagian besar anggota bersama peralatan ketenteraan di zon sempadan mereka.

"Tindakan Kiev mengerahkan anggota tentera mereka ke kawasan sempadan wilayah timur yang dikuasai kumpulan pemberontak pro-Moscow telah mengeruhkan lagi krisis ini," jelasnya lagi.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam satu kenyataan menegaskan beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) telah membuat kesilapan kerana memindahkan diplomat mereka secara terburu-buru dari Kiev.

"Ada yang berpindah ke barat Ukraine kerana takut dengan ancaman serangan Rusia," katanya merujuk kepada beberapa misi antarabangsa yang membuka pejabat mereka di bandar Lviv. - AFP

Artikel Berkaitan:

Info

- Dokumen Vienna 1990 menghendaki 57 negara Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) untuk berkongsi maklumat tentang pasukan tentera dan memaklumkan antara satu sama lain mengenai aktiviti ketenteraan utama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!