Latihan ketenteraan Rusia hampir tamat
MOSCOW - Sebahagian daripada latihan ketenteraan berskala besar di Moscow dan Minsk hampir tamat.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu kepada Presiden Vladimir Putin pada Isnin selepas kebimbangan semakin meningkat jika Kremlin melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine pada minggu ini seperti didakwa Amerika Syarikat (AS).
"Beberapa latihan sudah berakhir manakala sebahagian daripadanya akan selesai dalam masa terdekat," ujar Shoigu yang mungkin menyebabkan negara antarabangsa boleh menarik nafas lega buat sementara waktu susulan perkembangan tersebut.
Menurutnya, beberapa latihan yang bermula sejak Disember lalu masih diteruskan sehingga kini.
Difahamkan, latihan ketenteraan yang disifatkan Barat sebagai satu bentuk provokasi telah dilancarkan di seluruh daerah ketenteraan barat Rusia selain melibatkan kesemua armada di Laut Barents, Laut Hitam, Laut Baltik dan Armada Pasifik.
Shoigu juga mendedahkan Armada Pasifik milik Moscow mengesan kedudukan kapal selam milik AS di luar pantai Timur Jauh malah ia telah dilaporkan Kementerian Pertahanan pada akhir minggu lalu.
Menjelang pertemuannya dengan Shoigu, Putin turut bertemu dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang menyatakan penyelesaian diplomatik bersama Barat masih boleh dicapai.
Lavrov berkata, terdapat peluang untuk mencapai kesepakatan tentang isu keselamatan bersama Barat yang terkandung dalam tuntutan dikemukakan Kremlin sebelum ini, namun ditolak AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Moscow bersedia untuk meneruskan rundingan tersebut bersama Barat walaupun mungkin berdepan kesukaran," jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov menyambut baik perbincangan secara positif bersama rakan sejawatannya di Belarus setelah beliau mendapat jaminan tiada ancaman dari Minsk terhadap Kiev.
Sebelum ini, pegawai risikan di Washington bimbang rundingan antara Rusia dan Barat selama beberapa minggu yang gagal mencapai sebarang kata putus telah memberi masa kepada Moscow untuk bersiap siaga dengan operasi ketenteraan berskala besar yang kini hanya menunggu arahan Putin untuk bertindak. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!