Kean Yew waspada 'pukulan' Zii Jia
JUARA dunia dari Singapura, Loh Kean Yew menjangkakan pertemuan dengan Lee Zii Jia bakal menjadi tumpuan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang membuka tirainya pada Selasa.
Kean Yew berkata, meskipun mempunyai rekod yang baik menentang Zii Jia sebelum ini, dia yakin jaguh perseorangan utama Malaysia itu tidak akan memberi laluan mudah kepadanya.
“Saya tidak boleh cakap rekod baik pada tahun lepas satu kelebihan buat saya ke atas Zii Jia. Sebab dia juga pernah menewaskan saya.
“Apabila menyertai kejohanan, apa-apa boleh berlaku. Jadi apa yang boleh saya cakap, saya akan cuba yang terbaik ketika melawan dia,” katanya.
Malaysia akan membuat perhitungan dengan Singapura dalam aksi pembukaan BATC 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Rabu.
Dalam pada itu, Kean Yew yang mengetuai cabaran Singapura menyifatkan dia masih individu yang sama meskipun berjaya menutup tirai 2021 dengan cukup bergaya.
Menurutnya, tahun 2022 adalah permulaan yang baharu buat dirinya sambil menjelaskan segalanya akan bermula daripada angka kosong sama seperti sebelum ini.
“Saya masih individu yang sama seperti yang anda kenal sebelum ini. Tiada banyak yang perbezaan yang berlaku pada saya untuk tahun 2022.
“Apa yang saya harap bersama pasukan ketika ini ialah untuk beraksi sehabis baik dapat mengumpul sebanyak mungkin mata kemenangan pada kejohanan ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!