'Tiga bintang' tetap milik Perak FC

Indra Putra beraksi ketika Perak FC menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi baru-baru ini. - Foto Perak FC
Indra Putra beraksi ketika Perak FC menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi baru-baru ini. - Foto Perak FC
A
A
A

TIGA pemain berstatus bintang - Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya tetap akan memperkuat Perak FC pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Yunus Zakaria berkata, ketiga-tiga pemain berpengalaman itu telah menandatangani kontrak bersama The Bous Gaurus baru-baru ini.

Menurut Yunus, peminat dan penyokong tidak perlu risau dengan perkembangan terbaharu di kem Perak FC sekalipun Liga-M bakal bermula bulan depan.

“Indra, Wan Zack dan Syamim antara pemain baharu yang kita tandatangani musim ini. Tetapi kita tidak boleh mendaftarkan mereka berikutan registration embargo daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Sekalipun tidak dapat bermain pada awal musim ini, mereka sudah ada kontrak dengan kita. Dijangkakan kita akan mendaftar nama mereka pada jendela perpindahan kedua pada Mei depan.

“Ingin saya tegaskan, walaupun tidak boleh didaftarkan buat masa ini, mereka tetap pemain Perak FC. Jika ada mana-mana pasukan yang berminat, mereka perlu menghubungi kami,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Perak FC yang bakal beraksi dalam Liga Premier musim ini sedang bergelut bagi menjelaskan hutang melibatkan tunggakan gaji termasuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang berjumlah hampir RM1.8 juta.

Sebahagian besar hutang didapati melibatkan tunggakan gaji pemain import seperti Leandro Dos Santos berjumlah RM614,301.44 tidak termasuk 5 peratus faedah tambahan, Raianderson de Costa Morais (RM526,935.92 dengan 5 peratus faedah) dan Jeon Hyo Seok (RM419,080).

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Perak FC tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baharu termasuk pemain import bagi mengharungi saingan Liga-M musim 2022.

Mengulas lanjut, Yunus berkata, pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam masa terdekat bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

“Untuk makluman, kami ambil alih Perak FC pada 24 Disember tahun lalu dan memulakan sesi latihan pada awal Januari 2022 iaitu lewat sebulan berbanding pasukan lain.

“Jika kami tak sempat untuk daftarkan Indra, Wan Zack dan Syamim, kami kena tunggu pula pada window transfer Mei nanti. Ketika itu, sudah lapan perlawanan berlangsung.

“Apapun, kami cuba elakkan daripada pelan B. Kalau boleh kami nak kekal dengan pelan A yang mana semua pemain dapat bermain daripada awal musim,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!