Cadang pinjaman sara hidup peneroka dihadkan kepada RM1,000
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP) mencadangkan pinjaman sara hidup peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dihadkan kepada RM1,000 berbanding RM1,500 yang diberikan sebelum ini.
Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, ia sebagai usaha mencari penyelesaian terhadap isu hutang peneroka serta membantu Felda yang kini sedang mengalami masalah kewangan.
“Sebelum ini untuk pinjaman sara hidup Felda beri RM1,500 sebulan untuk 10 ekar tanah (empat hektar). Jadi bila ada masalah aliran tunai daripada Felda, pembayaran telah tersangkut. Ia situasi menang-memang.. daripada tidak dapat langsung yang dibantu dan diberi pinjaman, kita menerima (bersetuju) amaun RM1,000 diberi untuk tahun ini.
“Bukan Felda yang membuat keputusan ini sebaliknya ia adalah cadangan daripada JKPP. Jadi Felda akan angkat perkara ini kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi,” katanya kepada pemberita dalam sesi Felda bersama media di Menara Felda, hari ini.
Sulong Jamil berkata bagi menampung kekurangan sebanyak RM500 yang diterima peneroka, beliau memohon kerajaan dapat memberi bantuan bagi jumlah yang sama sebagai wang ehsan atau sagu hati kepada 30,000 peneroka Felda.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Anuar Malek berkata pendahuluan pinjaman sara hidup sebanyak RM1,000 telah diberikan kepada peneroka untuk bulan ini
Menurutnya, Felda memerlukan kira-kira RM500 juta setahun bagi pembiayaan pinjamaan kepada peneroka yang menanam semula kelapa sawit dengan Felda sekiranya pinjaman sebanyak RM1,500 diberikan berbanding RM360 juta setahun bagi pinjaman berjumlah RM1,000.
“Kita memang bermasalah dari segi aliran tunai jadi buat ketika ini sebenarnya Felda berkemampuan untuk mendahulukan pendahuluan sara hidup dari RM1,500 kepada RM1,000 sahaja. Kita yakin kalau RM1,000 kita mampu untuk teruskan berbanding RM1,500,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!