Paul Yong dikuarantin, prosiding bela diri ditangguh

Paul Yong
Paul Yong
A
A
A

IPOH - Prosiding bela diri Paul Yong Choo Kiong atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia yang dijadual pada Selasa dan Rabu, ditangguhkan berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu menjalani kuarantin kerana Covid-19.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Paul Yong memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah pada Selasa kerana perlu dikuarantin di rumah sepertimana ditetapkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Menurutnya, Paul Yong bersama isteri, Too Choon Looi yang merupakan saksi pembelaan pertama dan kedua diperintahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat kepada adik perempuan yang didapati positif Covid-19 pada 12 Februari lepas.

"Status di aplikasi MySejahtera milik kedua-dua saksi pembelaan ini juga telah bertukar warna kepada jingga.

"Oleh itu, pihak pembelaan ingin memohon penangguhan perbicaraan kerana saksi-saksi pembelaan ini tidak dapat hadir ke mahkamah untuk hari ini dan esok (Selasa dan Rabu)," katanya.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa pernyataan pembelaan kedua-dua saksi itu telah diserahkan kepada pihak pendakwaan sejak 31 Januari lepas.

Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi berkata, pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan terbabit.

"Tiada bantahan kerana ini adalah satu alasan yang sah memandangkan Covid-19 ini satu keadaan yang membahayakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan dan menetapkan tarikh baharu pada 16, 30 dan 31 Mac depan untuk tertuduh membela diri.

Pada prosiding 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Paul Yong, 52, membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Perak.

Terdapat dua elemen berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan daripada keterangan mangsa dan keterangan beberapa saksi lain.

Elemen pertama yang dibuktikan adalah berlakunya kejadian kemasukan kemaluan tertuduh ke dalam kemaluan mangsa dan elemen kedua bahawa hubungan seks itu berlaku tanpa kerelaan mangsa.

Sepanjang perbicaraan kes terbabit yang bermula pada 5 April 2021, seramai 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Pertuduhan ke atas Paul Yong dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Paul Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin manakala Paul Yong diwakili Peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!