PRN Johor: Wartawan veteran jangka UMNO menang besar
SHAH ALAM - UMNO dijangka menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sepertimana yang berlaku pada PRN Melaka tahun lalu.
Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata, jangkaan itu dibuat susulan parti lawan ketika ini didakwa sudah hilang arah tujuan.
“Kalau jalan cerita PRN Melaka 20 November lalu boleh digunakan ke atas PRN Johor pada 12 Mac ini, UMNO akan menang besar. Bukan kerana UMNO kuat tetapi parti-parti lawan sudah hilang arah tujuan.
“Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin mengulangi kekalahan teruk di Melaka. PH dan PKR juga kalah teruk dalam PRN Sarawak 18 Disember lalu.
“Parti-parti yang menentang UMNO banyak dan rakyat jelata yang mahukan perubahan pun ramai tetapi mereka lebih berpecah belah sekarang daripada ketika PRN Melaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan PH yang membenarkan PKR menggunakan lambangnya sendiri, manakala DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) memakai lambang PH pada PRN Johor sudah tentu akan mengelirukan pengundi, malah tidak yakin untuk mengundi parti berkenaan.
“Maka atas sebab-sebab inilah UMNO nampak mempunyai kelebihan.
“Selain itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula akan membuat kemunculan sulung sejak didaftarkan 23 Disember lalu melalui kerjasama dengan PH dan PKR.
“Muda boleh membantu menarik undi pemilih muda kepada khemah pembangkang, manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga dilaporkan akan mengadu nasib buat kali pertama secara bersendirian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan PN umpama ‘rumput di tengah jalan, sini tidak di sana pun tidak’ kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak kuat, manakala Pas pula lemah.
“Bersatu menang kerusi di Johor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu atas kekuatan bersama PH.
“Nampaknya, Bersatu bolehlah bersiap sedia untuk menendang dirinya sendiri kerana telah ditipu bulat-bulat oleh UMNO dan fiksyen (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali untuk melakukan tindakan politik paling bodoh dengan menjadi alat ‘Sheraton Move’ dua tahun lalu.
“Sementara itu, Presidennya sendiri, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin telah memberi isyarat ‘surrender’ (menyerah kalah) apabila pada 25 Januari lalu (beliau) memberitahu tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, UMNO mengharapkan kelebihan daripada pertandingan tiga penjuru, di mana PN dan PH/PKR akan bertembung.
“Jadi, UMNO akan menang jika undi tradisionalnya kekal, manakala undi pembangkang pecah. Di Melaka, Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 38.4 peratus undi untuk menang kerana pecah undi ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!