Mangsa ribut dapat rumah kabin

Wah Chong (dua dari kiri) gembira menerima rumah kabin yang disumbangkan CRSM dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Kampung Tawas, Ipoh pada Selasa.
Wah Chong (dua dari kiri) gembira menerima rumah kabin yang disumbangkan CRSM dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Kampung Tawas, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seorang mangsa ribut yang kehilangan rumah akibat ribut di Kampung Tawas, di sini pada 31 Januari lalu menarik nafas lega apabila diberikan rumah kabin untuk didiami.

Penerima rumah kabin itu, Lee Wah Chong, 64, berkata, rumahnya sebelum ini musnah teruk dipukul ribut dan ditimpa pokok tumbang dalam kejadian itu.

Keadaan itu juga menyebabkan dia terpaksa menumpang berteduh di rumah rakannya sementara menunggu rumah baharu siap dibina.

"Memang saya ada hasrat nak bina rumah baharu atas tapak sedia ada dengan bantuan kerajaan. Tak sangka pula dapat rumah kabin ini. Saya memang gembira.

"Buat masa ini saya tinggal di sini dahulu sementara rumah baharu siap. Lagipun saya tinggal seorang sahaja jadi ini pun cukup," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Kabin oleh Pasukan Bantuan Krisis MCA (CRSM) di Kampung Tawas di sini pada Selasa.

Wah Chong yang bekerja sebagai tukang cat berkata, rumah kabin tersebut akan didiami secepat mungkin setelah semua perabot dan keperluan asas disediakan.

Sementara itu, Pengerusi CRSM Perak, Ricky Soong berkata, pemberian rumah kabin itu merupakan yang pertama seumpamanya kepada mangsa bencana oleh CRSM.

Menurutnya, keputusan untuk menyumbang rumah kabin tersebut dibuat selepas melihat keadaan rumah Wah Chong musnah teruk selain mangsa ribut itu tinggal bersendirian.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan salah satu inisiatif kita membantu mangsa ribut di sini. Sebelum ini kita sudah gerakkan pasukan membantu mangsa-mangsa ribut yang lain tetapi kebanyakan mereka mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

"Jadi untuk Pak Cik Wah Chong ini kita beri dia rumah kabin sebab rumahnya langsung tak boleh duduk. Kita harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban," katanya.

Menurutnya, selain rumah kabin berharga RM20,000 itu, pihak CRSM turut memberikan sumbangan berupa barangan keperluan asas untuk warga emas tersebut.

Dalam kejadian 31 Januari lalu, sebanyak 219 rumah terjejas akibat ribut melibatkan kawasan Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai, Klebang dan Taman Desa Impian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!