Mahkamah tolak permohonan Shafee padam pernyataan saksi

Mahkamah Tinggi pada Selasa menolak permohonan Muhammad Shafee bagi memadamkan lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mahkamah Tinggi pada Selasa menolak permohonan Muhammad Shafee bagi memadamkan lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi memadamkan lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengenai kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapi peguam itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman ringkasnya memutuskan bahawa tiada kemungkinan 33 daripada 51 perenggan dalam pernyataan bertulis Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad, saksi pendakwaan ketujuh memprejudiskan tertuduh, Muhammad Shafee.

Hakim itu berkata, seperti yang dinyatakan dalam Mahkamah Persekutuan berhubung kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lawan pendakwa raya, mahkamah itu mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk memadam keterangan yang prejudis.

"Mahkamah Rayuan dalam kes sama (Anwar lawan pendakwa raya) turut menyatakan bahawa mahkamah ini mempunyai kuasa untuk memadam keterangan yang tidak relevan dalam membuktikan pertuduhan bagi memastikan tertuduh tidak diprejudiskan.

"Pada pandangan saya, 33 perenggan tersebut dalam pernyataan bertulis saksi pendakwaan ketujuh adalah relevan untuk membuktikan pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat terhadap tertuduh,” katanya.

Hakim turut memberitahu, keterangan saksi itu adalah tertakluk kepada pemeriksaan balas dan kebenarannya boleh diuji seterusnya dicabar.

"Sama ada keterangan bertulis saksi pendakwaan ketujuh dalam 33 perenggan tersebut wajar diterima atau sebaliknya adalah isu yang berlainan, dan sama ada keterangan saksi tersebut membuktikan atau tidak kesalahan bagi pertuduhan ketiga dan keempat adalah isu berbeza.

"Mahkamah akan menilai keterangan saksi berkenaan dan memutuskan ia wajar diterima atau sebaliknya, sama ada keterangan itu adalah keterangan dengar cakap (hearsay) atau apa-apa alasan lain. Oleh itu, permohonan pihak pembelaan untuk memadamkan 33 perenggan dalam pernyataan bertulis saksi pendakwaan ketujuh ditolak dan mengekalkan 33 perenggan tersebut,” katanya.

Turut hadir ketika prosiding pada Selasa, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz. Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara dengan pihak pembelaan akan menyoal balas Syed Nasrul Fahmi.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Muhammad Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!