Indeks jenayah di Pahang turun 24.51 peratus pada Januari

Ramli (kiri) diiringi Mohd Yusri memakaikan pangkat kepada salah seorang pegawai rendah pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Rendah Polis di IPK Pahang di Kuantan pada Selasa.
Ramli (kiri) diiringi Mohd Yusri memakaikan pangkat kepada salah seorang pegawai rendah pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Rendah Polis di IPK Pahang di Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Indeks jenayah di Pahang mencatatkan penurunan sebanyak 24.51 peratus sepanjang Januari lalu.

Pada Januari lalu, sebanyak 154 kes jenayah direkodkan di negeri ini berbanding 204 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jenayah kekerasan menunjukkan penurunan daripada 40 kes pada Januari tahun lalu kepada 32 kes tahun ini.

Menurutnya, bagi jenayah harta benda sepanjang Januari lalu sebanyak 122 kes berbanding 164 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

"Sepanjang Januari lalu juga Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang telah melakukan tangkapan terhadap 1,170 individu atas kesalahan dadah.

"Daripada jumlah tangkapan itu,178 individu ditahan atas kesalahan bekalan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Beliau berkata dalam ucapannya di Perhimpunan Bulanan (Februari) Kontinjen Pahang dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Rendah Polis (PRP) serta Penyerahan Kenderaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Turut hadir timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, selain itu, seramai 968 individu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 6, Seksyen 15(1) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Seramai 24 individu lagi ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

"Bagi kes rampasan, JSJN Pahang telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM386,000 sepanjang Januari lalu" katanya.

Tambah beliau, sebanyak 169 kes jenayah komersial telah dilaporkan di negeri ini sepanjang Januari lalu dengan nilai kerugian mencecah RM4.8 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!