Polis sedia bawa keluar rakyat Malaysia di Syria
JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan beri pertimbangan dan bantuan kepada rakyat Malaysia yang masih berada di Syria.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada rakyat Malaysia di negara berkenaan, yang membuat permohonan pulang ke tanah air.
“Jadi kita akan berhubung dengan ‘counterpart’ kita terutama di Turki untuk bantu bawa mereka keluar dan sekiranya berjaya, kita akan bawa mereka pulang mengikut proses biasa,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai status rakyat Malaysia yang ditahan di Syria, berkaitan dengan aktiviti pengganas.
Mohamad Fuzi berkata, sekembali di tanah air, mereka perlu mematuhi prosedur dan program pemulihan akan dikendalikan secara sistematik, sebelum dibebaskan.
Dalam pada itu, menurutnya, tindakan undang-undang diambil bergantung kepada situasi.
“Kita kena faham, mereka yang terlibat ini kebanyakannya isteri dan anak, mungkin terlibat dengan kegiatan keganasan di Syria pada satu ketika dahulu.
“Jadi kalau ikut suami, mungkin kita akan beri pertimbangan tertentu untuk memulihkan mangsa dan anak-anak.
“Kalau dia bawa anak, kita akan bagi mereka ruang dan peluang untuk anak-anak ini kembali ke sekolah, kembali ke masyarakat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis dalam proses bawa pulang 23 rakyat kita di Syria
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!