Gajah betina ditemui mati tepi jalan
PADANG TERAP- Seekor gajah betina ditemui mati di tepi Jalan Empangan Pedu dekat Kampung Pinang, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi pada Selasa.
Penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Lan, 35, berkata, kejadian disedari beberapa penduduk yang keluar menoreh sebelum ternampak seekor gajah kaku di tepi jalan.
Menurutnya, haiwan terbabit dilihat dalam keadaan terduduk dengan keempat-empat kaki berlipat.
"Nampak macam ada darah dan najis, seperti gajah ini menanggung sakit sebelum mati," katanya.
Menurutnya, sebelum ini, penduduk pernah terserempak dengan beberapa ekor gajah yang melalui laluan berkenaan.
"Memang ada orang pernah nampak, sekawan gajah lalu kawasan ini, mungkin ini adalah salah seekor daripadanya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi.
Menurutnya, pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Kuala Lumpur dipanggil untuk melakukan siasatan.
"Masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai kematian gajah terbabit.
"Siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!